Sukan Lain

Pahang Rangers tanpa kelibat enam pemain

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Juara Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL) 2023, Pahang Rangers FC terpaksa menerima keputusan pemain kebangsaan, Muhammad Farhan Khairul Anuar yang meninggalkan skuad itu, musim depan.

Turut meninggalkan pasukan bimbingan jurulatih, Gerard Casas ialah Alif Mat Amin dan keputusan itu diumumkan menerusi Facebook (FB) Pahang Rangers FC, hari ini.

Minggu lalu, pasukan itu menggugurkan Zulfathi Zubir dan Khaiyum Khaimi serta awang import mereka, Sergio Jamur De Sousa dan Amin Nasrollah Zadeh yang beraksi cemerlang musim ini.

Selepas lima musim bersama skuad Tok Gajah, Muhammad Farhan yang terkenal dengan gelaran 'Apan' memilih untuk pulang ke negeri kelahirannya Selangor kerana ingin berada bersama keluarga.

Apan membuat penampilan sulung bersama Pahang Rangers FC pada 23 Jun 2019 ketika Tok Gajah menentang Kuala Lumpur dan melengkapkan 61 penampilan secara keseluruhan.

Dia yang terpilih mewakili skuad negara menjaringkan 17 gol sepanjang bersama Pahang Rangers FC.

Disiarkan pada: December 13, 2023 @ 7:19pm
d