mutakhir

Masih tiada petunjuk siapa bunuh Zayn Rayyan

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Petaling Jaya: Polis belum menemui petunjuk kukuh bagi mencari pembunuh kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, di Apartmen Idaman, Damansara Damai.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan berkata, operasi mencari bukti masih diteruskan di sekitar lokasi dan tiada mana-mana individu boleh dikaitkan dalam kes bunuh kanak-kanak ini.

"Tiada perkembangan, maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya secara ringkas ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) tiba sekitar jam 3 petang untuk meneruskan proses pencarian bukti baru di Blok R, apartmen terbabit.

Mereka kemudian bergerak masuk ke dalam blok terbabit sekitar jam 3.25 petang.

Hari ini masuk hari ke-11 pencarian bukti di kawasan penemuan mayat Zayn Rayyan dan belum menemui bahan bukti yang boleh dikaitkan dengan suspek.

Harian Metro sebelum ini melaporkan polis mengesan dua lagi saksi kanak-kanak berkaitan kes kematian Zayn menerusi penyaringan beramai-ramai (mass screening).

Mayat Zayn ditemui di saliran air berdekatan takungan air 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, kira-kira jam 10 malam 6 Disember lalu.

Disiarkan pada: December 17, 2023 @ 3:47pm
d