mutakhir

Bekas eksekutif tak mengaku pecah amanah RM350,000

Oleh Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Bekas eksekutif pentadbiran syarikat kawalan keselamatan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas 29 pertuduhan pecah amanah wang syarikat berjumlah lebih RM350,000.

Tertuduh, M Vijairani, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu bekerja sebagai eksekutif pentadbiran diamanahkan untuk mengurus harta syarikat namun secara curang melakukan pecah amanah wang keseluruhan berjumlah lebih RM350,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Syarikat Force One Protection (M) Sdn Bhd di Jalan Chain Ferry, Taman Inderawasih Perai pada 20 April 2021 hingga 25 Mei lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun hingga 14 tahun, sebat dan denda jika disabitkan kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh diwakili peguam G Shanmugam.

Semasa prosiding, pihak pendakwaan meminta tiada sebarang jaminan ditawarkan terhadap tertuduh memandangkan tahap keseriusan kesalahan yang dilakukan.

Bagaimanapun, peguam tertuduh merayu supaya anak guamnya boleh diikat jamin dengan nilai jaminan secara kolektif bagi semua kes dan pertuduhan yang dihadapi.

Ini kerana, tertuduh yang juga ibu tunggal yang membesarkan dua anak berusia 10 dan 11 tahun tidak lagi mempunyai pendapatan, selain perlu menanggung seorang ibu berusia 74 tahun.

Dalam pada itu, tertuduh juga sebelum ini tidak mempunyai rekod jenayah dan bersedia mematuhi segala syarat tambahan yang dikenakan terhadapnya.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan membabitkan jumlah keseluruhan RM87,000 dengan dua penjamin yang mempunyai pendapatan RM5,000 sebulan ke atas.

Selain itu, tertuduh juga diminta menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai.

Kes akan disebut semula pada 24 Januari depan untuk serahan dokumen.

Disiarkan pada: December 27, 2023 @ 12:37pm
d