Bola Sepak

Tarian zapin 'mendonia' di Piala Asia

Oleh Firdaus Hashim

Doha: Tarian tradisional zapin dan jawa menyambut kehadiran skuad Harimau Malaya di Stadium Jassim bin Hamad bagi aksi Piala Asia 2023 menentang Bahrain, malam ini.

Pengurus Kelab Kebudayaan Malaysia Al Khor (KKAK), Nur Hannah Rachel berkata, tarian itu dipersembahkan oleh pelajar KKAK terdiri daripada anak Malaysia khususnya yang tinggal di bahagian Al Khor iaitu kawasan utara Qatar.

Katanya, objektif utama kelab itu sebenarnya bertujuan untuk memperkenalkan budaya Malaysia kepada masyarakat luar.

"Alhamdulillah kelab ini sentiasa mendapat jemputan dari luar untuk membuat persembahan seperti di sekolah dan kedutaan.

"Bagi Piala Asia, kami terpilih untuk membuat persembahan bagi ketiga-tiga aksi Malaysia," katanya ketika ditemui di perkarangan Stadium Jassim Bin Hamad, di sini, hari ini.

KKAK ditubuhkan sejak setahun lalu dengan mempunyai seramai 50 penari dan empat orang tenaga pengajar.

Kumpulan penari tradisional ini dijemput bagi membuat persembahan untuk ketiga-tiga aksi membabitkan Harimau Malaya dalam Kumpulan E sepanjang Piala Asia ini.

Disiarkan pada: January 20, 2024 @ 9:22pm
d