mutakhir

Penggangur didakwa bunuh rakan

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana membunuh rakannya dalam satu pertengkaran, awal bulan lalu.

Mohd Armin Amir, 28, hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh mangsa, Amir Azlan Iwan, 22, di lorong belakang deretan kedai di Jalan Peel, di sini pada 3.20 pagi, 1 Februari lalu.

Oleh itu dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkqn hukuman mati atau penjara antara 30 tahun sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, tertuduh juga boleh disebat minimum 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Zuhairi Osman manakala tertuduh diwakili peguam Evie Melynda Jee.

Sebelum ini pada 2 Februari lalu, media melaporkan seorang lelaki maut selepas dipercayai ditikam di bahagian leher dengan serpihan kaca lampu oleh rakannya dalam satu pertengkaran.

Disiarkan pada: February 7, 2024 @ 3:46pm
d