mutakhir

Mayat kanak-kanak mangsa kepala air Sungai Kenjur ditemukan

Oleh Muhamad Lokman Khairi

Tapah: Seorang lagi mangsa kejadian kepala air di Sungai Kenjur dekat Kampung Poh, Bidor, di sini ditemukan lemas, malam ini.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd Naim Asnawi, berkata mangsa dikenal pasti sebagai Hafif Muhayat Azam, 4, ditemukan pada 9.50 malam dengan bantuan penduduk kampung.

"Mayat mangsa ditemukan di dalam sungai dalam mengiring dan tersangkut di bawah akar pokok pada jarak kira-kira 600 meter dari kawasan keluarganya berkelah.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Penemuan ini menjadikan jumlah mangsa yang masih hilang kepada dua orang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, malam ini.

Pengecaman mangsa dilakukan oleh ibu saudaranya, Aznur Radin Mustapha Amiruddin, 51.

Terdahulu, media melaporkan hajat empat beranak untuk berkelah bertukar tragedi apabila si ibu, Aszura Bani, 37, ditemukan lemas manakala tiga anaknya hilang akibat dihanyutkan kepala air semasa beriadah di sungai berkenaan.

Hafif Muhayat ialah anak kedua daripada tiga cahaya mata Aszura dan suaminya, Azam Radin Mustapha Amiruddin, 47.

Dua lagi anak Aszura yang masih hilang ialah Hanna Mikayla, 7, dan Hanum Marissa, 2.

Tinjauan di lokasi mendapati, seramai 12 penduduk kampung giat melakukan pencarian secara sukarela atas dasar keprihatinan terhadap keluarga mangsa.

Disiarkan pada: February 7, 2024 @ 11:32pm
d