Hoki

Skuad hoki remaja Pahang dibelasah wakil China

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Skuad wanita MSP-PHP-SSNP yang membawa cabaran Pahang tewas 0-7 pada pasukan jemputan dari China, Liaonin dalam kategori premier saingan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2024 di Stadium Wisma Belia, hari ini.

Berhadapan skuad remaja China itu, pemain muda bimbingan jurulatih, Mohamad Sabri Mohamad ketinggalan 0-3 pada babak pertama sebelum dibolosi empat gol lagi pada babak kedua.

Menurut Mohamad Sabri, selepas tewas 0-5 pada skuad Mutiara Impian-MSSPP-PSHA pada perlawanan pembukaan TNB MHL di gelanggang sendiri minggu lalu, nasib sama berlaku hari ini.

"Walaupun tewas dalam dua perlawanan dilalui, saya tetap berpuas hati dengan tentangan diberikan barisan pemain, mereka seolah-olah tidak gentar berhadapan lawan yang lebih menyerlah.

"Jentera tengah dan serangan berjaya mengatur serangan ke kubu lawan, namun mereka gagal melakukan penyudah tepat.

"Beberapa peluang pukulan sudut penalti yang diterima tidak dapat disempurnakan dengan berkesan dan saya akan berusaha mengatasi kelemahan untuk mencatat kemenangan selepas ini," katanya.

Disiarkan pada: February 8, 2024 @ 7:31pm
d