mutakhir

Op Selamat tumpu 32 lokasi panas di Sabah

Oleh Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Sebanyak 32 lokasi 'hot spot' yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan di seluruh negeri ini akan diberi tumpuan dalam Op Selamat sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) yang bermula semalam sehingga 14 Februari ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, lokasi-lokasi itu akan diberi keutamaan dari aspek penugasan mahupun penguatkuasaan sepanjang operasi itu.

Katanya, seramai 298 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sabah akan melaksanakan penugasan di tempat strategik dan juga lokasi yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan.

"Demikian juga untuk perayaan kali ini, kontinjen Sabah menggerakkan ramai 1,783 pegawai dan anggota bagi melaksanakan tugas pemantauan, pencegahan dan juga rondaan seluruh kawasan yang dikenal pasti adalah 'hot spot' berlaku kejadian jenayah.

"Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) juga akan menggerakkan pasukan cantas di daerah di Sabah bagi memastikan pencegahan daripada berlakunya jenayah," katanya selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Jauteh menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya berhati-hati ketika memandu sempena perayaan Tahun Baharu Cina ini.

Katanya, pastikan bahawa kenderaan dalam baik dan rasa selesa ketika memulakan pemanduan dalam perjalanan untuk menyambut perayaan.

"Orang ramai boleh memberi pemakluman di balai-balai berdekatan atau melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) untuk pemantauan oleh pihak polis bagi memastikan keselamatan harta benda mereka dalam keadaan baik," katanya.

Disiarkan pada: February 9, 2024 @ 12:39pm
d