Hoki

Gagal mengawal permainan sebab Young Elephants Pahang tewas

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Kegagalan pemain mengawal permainan ketika sedang berada di hadapan dengan dua gol menyebabkan Young Elephants Pahang akhirnya tewas pada TNB Thunderbolts di pentas saingan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2024, Stadium Hoki Wisma Belia, semalam.

Beraksi di gelanggang sendiri tuan rumah dilihat hampir pasti dapat menjinakkan lawan apabila menamatkan babak pertama dengan 2-0, namun impian skuad bimbingan jurulatih, Mohd Sufian Mohamad meraih tiga mata tidak menjadi kenyataan apabila mereka tewas 2-4.

Menurut Mohd Sufian, cetek pengalaman mengawal permainan ketika sedang mendahului lawan penyebab utama pasukannya tewas pada lawan yang membariskan pemain pilihan Sekolah Sukan Malaysia.

Katanya, pasukan TNB Thunderbolts sememangnya layak memenangi perlawanan semalam kerana mereka beraksi begitu baik pada babak kedua permainan, walaupun sedang ketinggalan mereka bangkit memburu jaringan tanpa rasa putus asa.

"Saya yakin sekiranya barisan pemain Young Elephants Pahang dapat mengawal permainan sambil membentuk benteng pertahanan yang mantap, tidak mustahil kita mampu memenangi pertemuan semalam atau sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri.

"Apa boleh saya lakukan bila pemain seolah hilang punca dan tertekan apabila menerima asakan bertali arus lawan dan akhirnya pelawat mendapat dua gol lagi untuk kedudukan terikat 2-4 hingga tamat perlawanan," katanya.

Disiarkan pada: February 17, 2024 @ 3:56pm
d