Bola Sepak

Casas tuntut janji pemain Pahang Rangers

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Pasukan Pahang Rangers FC tidak memandang pada Selangor FC yang menjadi lawan pada saingan Divisyen 1 Liga Futsal Perdana Kebangsaan Malaysia (MPFL) di Stadium Tertutup SUKPA, esok.

Episod hitam lawan yang tewas 2-3 pada Sabah pada perlawanan pertama liga minggu lalu, bukan ukuran untuk melabelkan pelawat pasukan yang lemah.

Jurulatih Pahang Rangers, Gerard Casas berpendapat, keputusan perlawanan lalu tidak boleh dijadikan ukuran untuk tuan rumah memandang mudah pertemuan dengan Selangor FC malam esok.

"Saya ingin menyaksikan perlawanan kedua liga esok berakhir dengan kejayaan terutama selepas terikat seri 6-6 dengan Shah Alam City minggu lalu, keputusan itu tidak sepatutnya berlaku pada kita.

"Pemain telah berjanji untuk memberi persembahan yang terbaik bagi memastikan kemenangan berpihak pada Pahang Rangers, bagaimanapun pemain diingatkan supaya tidak terlalu yakin dapat menewaskan pelawat," katanya, di sini semalam.

Beliau berkata, pemain telah diingatkan supaya tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan pada perlawanan pertama minggu lalu, kelekaan yang berlaku menyebabkan kita hanya mampu berpuas hati berkongsi mata dengan lawan.

Casas menambah, dia ingin melihat jentera serangan yang diketuai pemain import, Felipe De Souza dan Murilo Saad dibantu pemain tempatan lebih rancak memburu jaringan, peluang terhidang perlu disempurnakan dengan tepat.

"Kemenangan perlu dicatat dalam usaha mengembalikan semangat pemain memburu kejayaan demi kejayaan pada perlawanan seterusnya selepas ini seterusnya tidak menyebabkan jurang mata terlalu jauh.

"Saya telah menyusun strategi untuk diterjemahkan barisan pemain Pahang Rangers untuk menjinakkan lawan," katanya yang berharap peminat setia Tok Gajah memberi sokongan.

Disiarkan pada: February 24, 2024 @ 2:45pm
d