mutakhir

Kedai makan terbakar, 7 kenderaan kena bahang api

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kajang: Sekurang-kurangnya tujuh kenderaan terjejas selepas sebuah kedai makan terbakar di Jalan SS 2/2 Kampung Baru China, Batu 11 Cheras, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 6.02 petang tadi.

"Seramai 11 pegawai dan anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussin Onn dan BBP Serdang dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, kami mendapati terdapat kebakaran membabitkan sebuah kedai makanan di bangunan satu tingkat di lokasi berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata, kebakaran itu menyebabkan kedai makan berkenaan terbakar 80 peratus.

"Kebakaran itu dapat dikawal jam 6.17 petang dan tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian berkenaan.

"Kejadian terbabit menyebabkan tujuh kenderaan diletakkan di kawasan berhampiran turut terjejas akibat bahang kebakaran berkenaan.

"Tujuh kenderaan itu membabitkan dua Perodua Myvi dan masing-masing sebuah Perodua Axia, Toyota Vellfire, Proton Saga, Proton X50 serta Nissan Serena," katanya.

Katanya, punca kebakaran masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: February 28, 2024 @ 8:59pm
d