Hoki

TNB, THT sebelah kaki ke final Piala TNB

Oleh Amirul Fazli Zulkafli

Kuala Lumpur: Skuad Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhempas pulas sebelum membenam UiTM HA-KPT 3-1 pada perlawanan pertama separuh akhir Piala TNB di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil (SHNBJ), hari ini.

Turun selaku pasukan pilihan ternyata bukan mudah buat TNB apabila lawan memberikan tentangan sengit.

Meskipun TNB mendahului dengan dua jaringan awal di suku pertama, mereka gagal menambah jaringan di suku kedua dan ketiga, sebaliknya UiTM bangkit di suku terakhir merapatkan kedudukan.

Bagaimanapun, TNB yang dibimbing Nor Saiful Zaini Nasiruddin menambah jaringan ketiga, sekali gus memberi kelebihan buat mereka bagi perlawanan kedua, selepas ini.

Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir pertama, Terengganu Hockey Team (THT) semakin hampir untuk mengulangi kejayaan ke final seperti tahun lalu apabila menewaskan Maybank 3-0.

Meskipun Maybank memberi tentangan sengit termasuk mendapat banyak pukulan sudut penalti dalam tiga suku pertama, mereka gagal mendapatkan jaringan sebelum THT mengambil kesempatan menambah dua jaringan pantas di suku keempat.

Sementara itu, bagi saingan separuh akhir pertama Piala Vivian May Soars pula, pasukan Malaysian University (MU) sebelah kaki ke pentas akhir selepas menewaskan Negeri Sembilan 4-1.

Anak buah Lailin Abu Hassan semakin hampir mendapatkan kejuaraan treble musim ini selepas memenangi Piala Sumbangsih dan Liga Hoki Wanita Malaysia, bulan lalu.

Manakala Liaoning Women Hockey Team pula mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas PDRM Blue Warriors.

Semua pasukan akan beraksi di separuh akhir kedua pada 7 Mac ini.

Disiarkan pada: March 5, 2024 @ 10:14pm
d