Hoki

THT, TNB bakal berentap di final Piala TNB

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Terengganu Hockey Team (THT) berpeluang untuk menafikan hasrat Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengejar gelaran treble apabila kedua-dua pasukan membuat perhitungan di final Piala TNB, Sabtu ini.

Ia adalah peluang untuk THT menjulang sekurang-kurangnya satu piala, sekali gus mempertahankan Piala TNB, selepas TNB sudah memenangi Piala Sumbangsih serta muncul juara Liga Hoki Malaysia (MHL).

THT mengesahkan kemaraan ke final menerusi agregat 6-1 selepas meraih kemenangan 3-1 ke atas Maybank pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Pakar pukulan sudut penalti, Muhammmad Razie Abd Rahim meletakkan Maybank di depan seawal minit ke-2 sebelum penyerang sensasi THT, Faizal Saari menyamakan kedudukan menerusi jaringan padang minit ke-16.

Ismail Abu meletakkan THT di depan minit ke-29, juga menerusi gol padang, sekali gus meletakkan THT di kedudukan selesa.

Bersambung separuh masa kedua, Faizal menambah jaringan untuk THT menerusi gol padang minit ke-47 dan kedudukan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Sementara itu, TNB mara ke final dengan menewaskan UITM HA-KPT menerusi agregat 8-2 selepas melakar kemenangan 5-1, hari ini.

Gol TNB dijaringkan oleh Muhammd Azrai Aizad Abu Kamal minit ke-3, Jang Jong Hyun (m-36) Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi (m-40) Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan (m-45) dan Muhammad Shahril Saabah minit ke-60.

Zul Pidaus Mizun menjaringkan gol tunggal UITM HA-KPT minit ke-33.

Disiarkan pada: March 7, 2024 @ 10:46pm
d