mutakhir

Pemandu maut treler langgar tebing

Oleh Juwan Riduan

Tamparuli: Lelaki maut apabila treler dipandunya terbabas sebelum melanggar tebing bukit di Jalan Tamparuli, Kampung Kelawat, di sini, malam ini.

Mangsa Raimon Wadang, 33, meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit di tempat duduk pemandu.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 7.46 malam.

Katanya, sepasukan anggota termasuk pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian kira-kira 40 kilometer dari balai.

"Laporan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah treler terbabas sendiri lalu merempuh tebing bukit.

"Terdapat seorang mangsa tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi tamat sepenuhnya pada 9.20 malam," katanya.

Disiarkan pada: March 10, 2024 @ 11:27pm
d