mutakhir

Nekbat Moknab tak guna mesin, tapi dibuat secara manual sejak 50 tahun

Oleh Nor Amalina Alias

Bachok: Menggunakan seratus peratus tenaga manusia tanpa bantuan mesin dan dimasak secara tradisional sejak 50 tahun lalu menjadikan nekbat Moknab di Kampung Perupok, di sini menjadi kuih lagenda.

Malah, sehingga kini, kuih yang hanya dijual di bulan Ramadan ini laris terjual 3,000 biji setiap hari.

Pengusaha nekbat, Nik Azan Abd Samad, 49 berkata, kuih nekbat itu adalah resipi asli ibunya, Raja Bidah Raja Setapa, 76 yang mesra dipanggil Moknab.

Katanya, nekbat hanya dibuat sekali setahun sahaja bagi menjaga ekslusif makanan itu selain permintaan kurang jika dibuat di bulan selain Ramadan.

"Nekbat ini juga mengumpulkan kami adik beradik yang membuat kuih ini bersama-sama sejak puluhan tahun dahulu sehingga kini.

"Jika bulan lain, kami ada yang bekerja menjadi nelayan, kedai runcit dan kerja sendiri, tapi bila masuk bulan puasa, semuanya akan bergotong-royong memasak nekbat," katanya ketika ditemui di Kampung Perupok, di sini, hari ini.

Nik Azan berkata, dua lagi adik beradik yang membantu menyiapkan kuih itu adalah Nik Azliana, 45 dan Nik Azrul, 44.

Selain itu, isteri Nik Azan, Rasiah Isa,48 turut menjadi tulang belakang keluarga bagi memastikan nekbat Moknab terus dinikmati sehingga kini.

Rasiah berkata, proses membuat nekbat bermula dengan memasak air gula, memukul telur menggunakan tenaga manusia, membuat bancuhan adunan, memasukkan ke dalam sarang atau loyang khas nekbat, membakar, merendam nekbat ke dalam air gula dan membungkus nekbat untuk dijual.

Katanya, walaupun proses dilihat mudah namun cabaran utama membuat nekbat adalah memastikan adunan yang betul bagi komposisi tepung dan telur bagi mengelakkan nekbat menjadi terlalu kering atau lembik.

"Setakat ini hanya saya dan mak mentua (Moknab) sahaja yang boleh buat adunan kerana nekbat tiada sukatan khas, kena 'main rasa' sahaja.

"Untuk memastikan adunan adalah tepat, terlihat pada kelikatan adunan, tak boleh terlalu pekat atau terlalu cair," katanya.

Rasiah berkata, pembakaran nekbat menggunakan dapur kayu dengan sabut kelapa juga mengekalkan keenakan tekstur nekbat selain adunan telur yang dipukul sendiri.

"Kami pernah cuba guna mesin, tapi adunan tidak seelok jika dibuat secara manual, jadi kami kekalkan semua proses tradisi ini bagi menjaga kualiti nekbat Moknab," katanya.

Sehingga kini nekbat Moknab dibeli penduduk sekitar, peraih serta peminat nekbat daripada seluruh Malaysia termasuk Kuala Lumpur dan Johor yang meminta keluarga masing-masing membuat pengeposan.

Disiarkan pada: March 19, 2024 @ 4:24pm
d