mutakhir

Kes DSP bunuh pelajar Tingkatan 5 dipindah ke mahkamah tinggi

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Kes pegawai kanan polis yang didakwa membunuh pelajar Tingkatan 5, Disember lalu, akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini.

Majistret S Punitha memutuskan sedemikian dalam prosiding sebutan kes itu di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Ia selepas beliau membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz untuk memindah dan membicarakan kes itu di mahkamah tinggi, mengikut Seksyen 177A(1) Kanun Tatacara Jenayah.

Bagaimanapun, tarikh untuk kes itu disebut di mahkamah tinggi, belum diputuskan.

Tertuduh yang juga pegawai kanan polis berpangkat deputi superintendan (DSP), Mohd Nazri Abdul Razak, 45, dilihat hadir ke mahkamah, hari ini, dengan mengenakan pakaian termasuk jaket berpenutup kepala (hoodie) warna gelap serta memakai pelitup muka, dengan kawalan ketat oleh anggota polis.

Keluarga terdekat mangsa termasuk abang, Zarul Fitri Muhd Zamrie, 30, selain bapa saudara, Abdul Razak Judin, 49; turut berada di dalam kamar mahkamah.

Hadir sama di pihak pendakwaan, dua lagi Timbalan Pendakwa Raya, iaitu Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Saiful Akmal Mod Said.

Turut hadir, peguam mewakili tertuduh, Cindy Wong Xin Tian, selain peguam pemerhati bagi keluarga mangsa, Datuk Zamri Idrus.

Pada 18 Disember tahun lalu, Mohd Nazri dituduh melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, di Jalan Taman Jati 1, berhampiran SMK Jati, dalam daerah Kinta, di sini, antara 12.05 tengah hari hingga 12.40 tengah hari, 15 Disember lalu.

Kesalahan Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, atau penjara minimum 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati hendaklah juga dihukum dengan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Disiarkan pada: March 21, 2024 @ 10:26am
d