mutakhir

Persamaan hala tuju bantu kurangkan kadar miskin tegar di Terengganu - Ahmad Samsuri

Oleh Baharom Bakar

Kuala Nerus: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri mengakui terdapat banyak persamaan hala tuju, dasar serta pendekatan antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

Katanya, sasaran kerajaan persekutuan untuk menoktahkan kemiskinan tegar di seluruh negara termasuk Terengganu, antara satu hala tuju yang sama seperti pentadbiran Kerajaan Negeri.

"Sasaran kerajaan persekutuan terutama menoktah kemiskinan tegar, usaha membawa pelabur, meningkatkan kecekapan tatakelola, pentadbiran yang berintegriti dan meningkatkan kualiti hidup rakyat banyak persamaan dengan agenda kerajaan negeri.

"Jika disenaraikan satu per satu, sudah pasti kita dapati terlalu banyak persamaan hala tuju, dasar dan pendekatan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Aidilfitri Madani peringkat negeri, di perkarangan Kompleks Sukan Gong Badak, di sini, hari ini.

Majlis perasmian Sambutan Aidilfitri Madani dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Yang turut hadir adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Sri Fadilah Yusof, Menteri Peladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Bijaya Raja, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.

Ahmad Samsuri berkata, hasil usaha bersama antara kerajaan negeri dan persekutuan, kadar kemiskinan tegar dapat dikurangkan.

"Kerajaan negeri berpendirian tidak berbelah bagi dan sangat jelas serta penuh iltizam bahawa pintu rumah sentiasa terbuka dalam memastikan hubungan baik antara kerajaan persekutuan demi kesejahteraan rakyat.

"Kami sentiasa membuka pintu rumah yang menggambarkan keyakinan kami, bahawa hubungan antara kerajaan Persekutuan dan negeri, seharusnya sentiasa positif, bertambah baik.

"Seperti peribahasa melayu, tak ada kusut yang tidak boleh selesaikan dan tiada kekeruhan yang tidak mampu dijernihkan," katanya.

Disiarkan pada: May 9, 2024 @ 9:23pm
d