mutakhir

Lori tanah jatuh gaung, wanita maut, suami patah tangan

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Kulim: Seorang wanita meninggal dunia selepas lori tanah yang dinaiki bersama suaminya jatuh gaung di kawasan Kuari Pancor, Kampung Air Putih, Junjong, di sini, hari ini.

Bagaimanapun suami mangsa yang berusia 30-an itu terselamat dan cedera parah dalam kemalangan yang berlaku jam 8.40 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim, Penolong Penguasa Bomba Hamizul Azwan Hamdan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.49 pagi.

Menurutnya, sepasukan anggota dari BBP Kulim yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Sholihin Saan bersama lapan anggota tiba di lokasi tidak lama kemudian.

"Operasi turut dibantu sepasukan anggota dari BBP Sungai Bakap, Pulau Pinang dan jumlah keseluruhan anggota yang terbabit dalam operasi itu adalah seramai 15 orang.

"Lori tanah dipercayai jatuh gaung dan terdapat dua mangsa iaitu pasangan suami isteri.

"Wanita berusia 30-an itu disahkan meninggal dunia petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) manakala suaminya patah tangan serta luka di bahagian kepala," katanya ketika dihubungi hari ini.

Hamizul Azwan berkata, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kulim manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: May 10, 2024 @ 11:29pm
d