mutakhir

Lelaki selamat, rakan hilang bot terbalik ketika memancing

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Kuala Nerang: Seorang lelaki selamat manakala rakannya masih hilang selepas bot yang dinaiki mereka terbalik ketika memancing di Empangan Tasik Pedu, di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang Mohd Aminudin Mad Khozali berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 6.20 petang.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang dikerah ke lokasi tidak lama kemudian.

"Berdasarkan maklumat awal yang diperoleh, mangsa dipercayai melakukan aktiviti memancing bersama rakannya dan terjatuh ke dalam tasik.

"Bagaimanapun seorang daripada mereka selamat manakala seorang lagi masih hilang dan operasi pada malam ini hanya dilakukan di permukaan air sahaja," katanya ketika dihubungi.

Katanya, berdasarkan situasi semasa, kemungkinan selaman tidak dapat dilakukan untuk operasi menyelamat pada waktu malam kerana gelap dan ketinggian aras laut diambil kira untuk melakukan selaman.

"Pasukan Penyelamat Di Air Bomba sudah dimaklumkan dan operasi menyelamat menggunakan teknik selaman hanya akan dilakukan pagi esok," katanya.

Disiarkan pada: May 16, 2024 @ 10:54pm
d