mutakhir

98 kes ceroboh hutan di Kelantan selesai

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Sebanyak 137 kes pencerobohan hutan di negeri ini dikesan dalam tempoh empat tahun bermula 2020 sehingga tahun lalu.

Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, daripada jumlah berkenaan, 98 daripadanya sudah selesai, manakala bakinya masih dalam siasatan.

Katanya, sepanjang tempoh sama, pihaknya berjaya mengutip kompaun sebanyak RM1.38 juta dan mengenakan denda berjumlah RM101,000.

"Melihat kepada jumlah kes dalam tempoh berkenaan, ia adalah menurun susulan penguatkuasaan dipertingkatkan secara berterusan.

"Alhamdulillah, trend kes semakin menurun. Jika dilihat pada 2020 terdapat 47 kes dan menurun kepada 35 kes pada 2021.

"Manakala pada 2022 pula 33 kes direkodkan, menurun kepada 22 kes pada 2023. Ini adalah hasil penguatkuasaan dilakukan secara berterusan oleh Jabatan Perhutanan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Nik Bahrum Nik Abdullah (Pas-Chempaka) berhubung jumlah kes pencerobohan tanah yang dikesan Jabatan Perhutanan sejak 2020 hingga 2023.

Mengulas lanjut, Mohd Nassuruddin memaklumkan Jabatan Perhutanan turut melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memulihkan semula kawasan yang terjejas termasuk menanam semula pokok.

Disiarkan pada: June 5, 2024 @ 11:38am
d