rap

Majlis Imarah Zulhijah, bacaan Yasin dan Tahlil WHAM dapat sambutan menggalakkan

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia (WHAM) menganjurkan Majlis Imarah Zulhijah serta Bacaan Yasin dan Tahlil bagi memperingati rakan-rakan media dan pemain industri yang sudah kembali ke Rahmatullah. 

Presiden WHAM, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin berkata, majlis yang berlangsung di Masjid Ukay Perdana, Ampang malam ini bertujuan untuk mengimarahkan bulan Zulhijah di samping mengeratkan silaturahim sesama pemain industri. 

"Alhamdulillah, majlis malam ini mendapat sambutan menggalakkan daripada rakan-rakan media serta pemain industri. Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang hadir dan mengimarahkan majlis pada malam ini," katanya kepada Harian Metro. 

Tambah Tengku Khalidah, majlis ini juga akan dianjurkan secara berterusan dan sekiranya berkesempatan, akan dijadikan program tahunan dalam kalendar WHAM. 

"Insya-Allah, kalau ada rezeki, majlis seumpama ini akan dianjurkan lagi pada tahun akan datang dan menjadi acara tahunan anjuran WHAM," katanya. 

Majlis  dihadiri oleh lebih 300 tetamu termasuklah pemain industri kreatif, artis serta jemaah dalam kalangan penduduk setempat. 

Antara yang hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed, pelakon, Datuk Rosyam Nor, Den Wahab, Ramlah Ram, Betty Benafe, Ellie Suriaty dan ramai lagi. 

 

Disiarkan pada: June 13, 2024 @ 10:50pm
d