mutakhir

Lelaki rentung dalam kereta terbakar

Oleh Mohd Roji Kawi

Kuching: Seorang lelaki ditemukan rentung di dalam kereta yang terbakar berhampiran simpang masuk ke ladang kelapa sawit di Batu Niah, Miri, malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran kereta itu pada 11.05 malam.

Menurutnya, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah diarah ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.

"Setibanya di lokasi, didapati sebuah Proton Wira Aeroback terbakar sepenuhnya dan api sudah padam ketika pasukan bomba tiba di lokasi.

"Ketika pemeriksaan dijalankan, pasukan bomba menemukan satu mangsa rentung di tempat duduk pemandu," katanya.

Menurutnya, semakan mendapati mangsa dikenali sebagai, Chen Kian Seong, 63, berasal dari Bandar Baru Permayjaya, Miri.

"Anggota membantu mengeluarkan mayat mangsa rentung itu dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya," katanya.

Disiarkan pada: June 15, 2024 @ 8:09am
d