mutakhir

PRK Sungai Bakap: Suasana tenang di pusat penamaan calon

Oleh Nur Izzati Mohamad

Nibong Tebal: Suasana di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Bakap di Dewan Serbaguna Jawi, di sini, mula dibanjiri anggota polis, petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak media yang hadir membuat liputan.

Cuaca ketika ini dilihat mendung dan dilaporkan, beberapa lokasi di daerah Seberang Perai Selatan mengalami hujan renyai.

Bagaimanapun, keadaan tenang dan polis menjalankan kerja-kerja pengawalan lalu lintas bagi memastikan kelancaran trafik.

Difahamkan, penyokong Pakatan Harapan (PH) berkumpul di Pejabat Umno Bahagian Nibong Tebal, manakala penyokong Perikatan Nasional (PN) pula berada di Masjid Daerah Seberang Perai Selatan yang terletak kira-kira 100 meter (m) dari pusat penamaan calon.

PRK Sungai Bakap dijangka menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Kerajaan Perpaduan diwakili PH menentang PN.

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Disiarkan pada: June 22, 2024 @ 8:30am
d