mutakhir

Penjualan saham MAHB: MKT tak bincang pendirian Pemuda Umno - Dr Akmal

Oleh Amir Mamat

Jasin: Isu penjualan saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada BlackRock Inc melalui Global Infrastructure Partners (GIP) atas nama solidariti bersama rakyat Palestin, ada dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu, kelmarin.

Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata bagaimanapun pendirian Pemuda yang mendesak supaya kerajaan menghentikan segera kegiatan itu tidak disentuh.

"Memang ada dibincangkan, termasuk penjualan saham kepada syarikat BlackRock Inc, tetapi pendirian Pemuda (yang mendesak supaya kerajaan menghentikan penjualan saham itu) tidak dibincangkan.

"Pendirian Pemuda adalah pendirian dari semua Exco dan Ketua Pemuda Umno yang diputuskan dalam mesyuarat tertinggi sayap parti itu semalam," katanya ketika ditemui selepas menghadiri perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita Umno Bahagian Jasin di sini, hari ini.

Perasmian disempurnakan Ahli MKT Umno yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Semalam, Pemuda Umno mendesak kerajaan menghentikan serta merta usaha penjualan saham MAHB kepada BlackRock Inc melalui Global Infrastructure Partners (GIP) atas nama solidariti bersama rakyat Palestin.

Dr Muhamad Akmal dilaporkan, berkata penjualan sebanyak 30 peratus saham itu amat bertentangan dengan pendirian Malaysia selama ini yang mendokong perjuangan Palestin dan pada masa sama, akan mendedahkan aset berkepentingan nasional dan awam kepada pihak yang rapat serta mempunyai simpati kepada agenda Zionis.

Disiarkan pada: June 22, 2024 @ 5:04pm
d