mutakhir

Blok bangunan di SK Abaka terbakar

Oleh Abdul Rahemang Taiming

Tawau: Sebuah blok bangunan di Sekolah Kebangsaan (SK) Abaka dekat sini, musnah dalam kejadian kebakaran, tengah malam tadi.

Difahamkan, kejadian kira-kira 12 tengah malam itu memusnahkan bangunan yang menempatkan bilik darjah murid tahap dua.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.06 tengah malam, sebelum sepasukan 28 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, didapati kebakaran membabitkan satu blok sekolah jenis tidak kekal terbakar sepenuhnya

"Operasi memadamkan kebakaran menggunakan sumber air dari tangki jentera sebelum api berjaya dikawal 50 minit kemudian," katanya dalam kenyataan di sini, pagi ini.

Jemishin berkata, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 1.23 pagi dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Jelasnya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: June 23, 2024 @ 8:26am
d