mutakhir

Orang ramai dinasihati tidak sertai himpunan 'Demo Rakyat Lawan Anwar' kerana ia tiada kebenaran

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Orang ramai dinasihati supaya tidak menyertai perhimpunan 'Demo Rakyat Lawan Anwar' kerana perhimpunan itu tidak mendapat kebenaran pemilik tempat berhimpun dan lokasi berkenaan juga tidak sesuai untuk diadakan perhimpunan.

Ringkasan Berita
  • Perhimpunan 'Demo Rakyat Lawan Anwar' tidak mendapat kebenaran pemilik tempat berhimpun.
  • Polis menasihati orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan itu.
  • Polis menerima 85 laporan dan sudah membuka kertas siasatan.
  • Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, polis juga menasihati penganjur untuk tidak meneruskan perhimpunan berkenaan yang akan diadakan Tempat Letak Kereta Awam, berhadapan Kompleks Seri Perdana, Putrajaya pada 29 Jun (Sabtu), jam 4 petang.

    Beliau berkata, polis juga menerima 85 laporan polis berhubung isu ini dan sudah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    "Polis mengesahkan menerima satu surat pemberitahuan daripada pihak penganjur pada 14 Jun. (Namun) perhimpunan ini perlu mendapatkan kebenaran daripada tuan tanah (iaitu Perbadanan Putrajaya tetapi), tetapi tuan tanah tidak membenarkan," katanya pada Sidang Media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di sini, hari ini.

    Rusdi berkata, polis juga mendapati, terdapat satu video tular berdurasi 3 minit 41 saat di aplikasi Tiktok memaparkan diskusi mengajak orang ramai untuk menyertai perhimpunan #rakyatlawananwar sebagai tanda bantahan terhadap kerajaan.

    Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak terbabit dengan sebarang perhimpunan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

    "Kita menasihati penganjur yang menggerakkan diri mereka sebagai 'Demi Negara' untuk tidak meneruskan perhimpunan. Orang ramai juga diminta untuk tidak ikut serta dan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, akan dikenakan tindakan di bawah peruntukan sedia ada," katanya.

    Selain itu, Rusdi berkata, pihaknya masih menyiasat mengenai individu yang menjadi pendukung kepada perhimpunan terbabit kerana ini bukan kali pertama mereka mengadakan perhimpunan.

    "Kalau mereka teruskan juga, polis akan menempatkan anggota di kawasan perhimpunan," katanya.

    Terdahulu, tular poster yang menyiarkan jemputan dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Demi Negara diketuai seorang pempengaruh yang menggelarkan dirinya 'YB Viral' akan menganjurkan demonstrasi dinamakan 'Demo Rakyat Lawan Anwar (Round 1)'.

    Demonstrasi itu dikatakan akan diadakan pada 29 Jun ini di tempat letak kereta di luar Kompleks Seri Perdana iaitu kediaman rasmi Perdana Menteri, jam 4.30 petang sehingga jam 7.30 malam.

    Dalam poster itu, peserta atau orang ramai yang tidak hadir demonstrasi turut diminta memakai baju hitam sebagai tanda solidariti.

    Disiarkan pada: June 27, 2024 @ 1:51pm
    d