mutakhir

Pengunjung pusat beli-belah panik, lelaki tidak sedarkan diri dalam kereta

Oleh Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Seorang lelaki ditemukan tidak sedarkan diri di dalam sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi di kawasan parkir sebuah pusat beli belah di Jalan Lintas, di sini, hari ini.

Mangsa berusia 30 tahun disedari berada di dalam kereta itu pada jam 12.30 tengah hari sebelum orang awam melaporkan kejadian kepada bomba.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, sepasukan pegawai bersama jentera pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat.

"Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati terdapat seorang mangsa lelaki dewasa tidak sedarkan diri dalam kenderaan berkenaan.

"Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas (resue tools)," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS seterusnya di hantar ke Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE2) menggunakan jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

Disiarkan pada: June 27, 2024 @ 3:31pm
d