Bola Sepak

Cemuhan peminat Belgium keterlaluan- Meunier

Oleh Reuters

Freiburg, Jerman: Kemarahan penyokong Belgium selepas seri dengan Ukraine agak keterlaluan, kata tonggak pertahanan veteran, Thomas Meunier.

Susulan keputusan seri tanpa jaringan itu menyaksikan penyokong mencemuh pemain Belgium biarpun pasukan itu berjaya layak ke pusingan kalah mati.

Ketua pasukan, Kevin De Bruyne yang diumumkan sebagai pemain terbaik perlawanan turut menjadi mangsa cemuhan peminat yang berang dengan keputusan seri itu.

"Saya fikir ia agak terlalu kerana pada penghujungnya kami masih layak. Keputusan seri dengan Ukraine tidak memberi kesan atau kami berada di tangga terbawah kumpulan.

"Kami melakukan tugas kami. OK...mungkin kami boleh melakukannya dengan lebih baik tetapi akhirnya kami tetap layak ke pusingan berikutnya," katanya.

Jelasnya lagi, dia mahu semua penyokong berdiri di belakang pasukan di mana aksi berdepan Perancis selepas ini lebih sukar.

"Reaksi daripada peminat dan penganalisis sedikit keterlaluan. Sudah tentu kami mahukan kemenangan dalam setiap perlawanan.

"Tetapi kita perlu sedar, kita bersaing di pentas Eropah. Ia bukan mudah, kerana semua pasukan yang layak ini adalah yang terbaik," katanya.

Disiarkan pada: June 27, 2024 @ 11:39pm
d