mutakhir

APMM selamatkan nelayan sakit dada ketika tangkap ikan

Oleh Izz Laily Hussein

Kota Tinggi : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyelamatkan seorang nelayan tempatan yang dilaporkan mengalami sakit dada di kedudukan 12 batu nautika timur Tanjung Sedili di sini, semalam.

Awak-awak Vesel Nelayan Tempatan (VNT) Kelas C itu berdepan detik cemas ketika berada di laut pada 9.40 pagi.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, mangsa, Shamsul Ma'arif, 37, terdahulu menghubungi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru dan memohon bantuan kecemasan.

"Bot ronda Maritim Malaysia PETIR 12 diarahkan ke lokasi mangsa sejurus menerima laporan dan tiba di lokasi jam 12.50 tengah hari.

"Mangsa kemudian dibawa ke Jeti Zon Maritim Tanjung Sedili sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Tanjung Sedili bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun mangsa dibenarkan pulang selepas selesai menjalani pemeriksaan kesihatan jam 3.40 petang.

"Mangsa dinasihatkan berehat daripada melakukan kerja-kerja berat," katanya.

Pada masa sama, Mohd Najib mengingatkan supaya komuniti maritim yang berdepan detik cemas atau melihat sebarang kecemasan di laut, segera melaporkan ke talian MERS 999 atau MRSC Johor Bahru di talian 07-2219231.

Disiarkan pada: June 29, 2024 @ 10:02am
d