mutakhir

Pelajar parah motosikal rempuh belakang treler

Oleh Nadzreen Shah Mat Salim

Karak: Seorang pelajar Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) parah apabila motosikal ditunggangnya merempuh belakang treler di Lebuhraya Karak arah tol Gombak menghala ke terowong Genting Sempah, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.45 pagi, mangsa, Megat Muhammad Wazir Megat Suhaimi, 20, parah di kepala dan patah jari di tangan kirinya.

Difahamkan, mangsa yang menunggang motosikal model Yamaha LC berseorangan dalam perjalanan dari Melaka ke POLISAS di Kuantan, Pahang.

Pegawai Pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur, Leftenan Shahrul Kamar Mohd Johari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11 pagi dan sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi, ada kemalangan membabitkan penunggang motosikal dan treler.

“Mangsa dipercayai tidak sempat mengelak dan merempuh treler yang bergerak perlahan di selekoh dan berbukit,” katanya.

Menurutnya, anggota segera memberikan bantuan kepada mangsa yang cedera.

“Mangsa mengalami luka di kepala akibat rempuhan dan jari di tangan kirinya juga patah,”katanya.

Shahrul Kamar berkata, mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan selanjutnya.

Disiarkan pada: September 17, 2016 @ 5:44am
d