mutakhir

Buka mata nampak langit [METROTV]

Oleh Hadzlihady Hassan

Balik Pulau: “Saya rasa ada benda jatuh menghempap badan dan sejurus membuka mata, dalam keadaan samar, saya nampak langit,” kata Nurul Qurratul Ain Sallehuddin, 23, menceritakan kejadian puting beliung yang menerbangkan keseluruhan bumbung rumahnya di Kampung Perlis di sini, awal pagi semalam.

Menurutnya, dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, dia tidur dalam bilik bersama adik perempuannya berusia 16 tahun sebelum terkejut apabila badannya dihempap siling dan kayu.

“Ketika itu, saya turut terdengar bunyi angin begitu kuat selain badan basah terkena air hujan.

“Saya segera bangun dan mengejutkan adik yang ketika itu tidur di bawah kerana bimbang ditimpa kayu,” katanya di rumahnya, semalam.

Pekerja swasta itu berkata, ketika kejadian, ada lima penghuni dalam rumah itu termasuk dirinya, adik perempuan, adik lelaki, sepupu dan nenek yang berusia 66 tahun.

“Sejurus semua bumbung tercabut, kami berlari keluar meminta bantuan anggota bomba untuk membawa keluar nenek yang diserang angin ahmar.

“Saya bersyukur kerana tiada kejadian buruk menimpa kami sekeluarga,” katanya.

Menurutnya, rumah didiami mereka bersambung dengan kedai runcit bapanya dan bumbung kedai itu turut tercabut diterbangkan pusaran angin kuat.

Ibu dan bapa tinggal berhampiran sebelum mereka bergegas ke rumah selepas dimaklumkan kejadian itu,” katanya.

Dalam kejadian itu, 11 rumah penduduk termasuk bumbung Pondok Polis Pulau Betong di sini, mengalami kerosakan, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika kebanyakan penduduk tidur.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhamad Farid Saad berkata, setakat ini jumlah kerugian dianggarkan RM50,000.

Menurutnya, kerja membaiki bumbung rumah penduduk dimulakan hari ini kerana kedai bahan binaan ditutup pada hujung minggu.

“Buat sementara waktu, kami meminta kontraktor menutup bumbung rumah penduduk menggunakan plastik,” katanya ketika meninjau tempat kejadian, semalam.

Disiarkan pada: November 7, 2016 @ 9:05am
d