mutakhir

Latihan kebakaran cetus panik

Oleh Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman

Temerloh: Kepulan asap hitam memenuhi ruang udara dari tingkat dua bangunan Tabung Haji, di sini, pagi semalam mencetuskan suasana panik kepada orang ramai yang melihatnya.

Lebih mendebarkan, dua lelaki dilaporkan terperangkap di tingkat tiga bangunan berkenaan.

Dalam kejadian jam 10 pagi, dua mangsa pekerja Tabung Haji cedera ringan dalam cubaan menyelamatkan diri selepas tingkat dua bangunan itu terbakar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Temerloh, Hashnudin Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 10.17 pagi dan 13 anggota dikerahkan ke lokasi.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, kami mendapati mangsa pertama diselamatkan pasukan keselamatan bangunan (ERT) yang terdiri daripada pekerja agensi berkenaan manakala mangsa kedua diselamatkan anggota bomba,” katanya.

Katanya, kejadian itu tidak mengakibatkan kerosakan harta benda dan kecederaan sebenar berikutan ia senario direka dalam latihan kebakaran membabitkan pihak bomba dan kakitangan agensi di bangunan berkenaan.

Disiarkan pada: December 21, 2016 @ 8:58am
d