mutakhir

Ilmu sabun ubah hidup 10 asnaf

Oleh Fazurawati Che Lah

Gombak: Dulu kerjanya hanya menghantar kanak-kanak ke sekolah dengan pendapatan kurang RM400 sebulan bagi menyara empat anak selepas kematian suami dua tahun lalu.

Kini ibu tunggal itu, Norasnida Abd Rani, 44, bersyukur apabila dia mampu meraih pendapatan lumayan hasil jualan pelbagai jenis sabun ‘homemade’ yang diusahakan sejak awal tahun lalu.

“Selepas suami meninggal akibat kanser tulang, saya membesarkan anak sendirian. Pelbagai kerja dibuat termasuk mengambil upah menghantar kanak-kanak ke sekolah,” katanya pada Kursus Sabun Serbuk, Cecair dan Pelembut Pakaian anjuran Briged Bakti Malaysia (BBM).

Norasnida berkata, dia bersyukur diberi peluang mempelajari ilmu menghasilkan sabun, sekali gus membantu dia keluar daripada kesempitan hidup.

“Saya tidak sangka kursus ini mampu menjana pendapatan tetap kepada kami anak beranak,” katanya yang mempromosikan pelbagai jenis sabun muka daripada madu dan dijual dalam talian.

Katanya, kini dia mampu menghasilkan lebih 200 sabun kecantikan pelbagai jenis untuk jualan sebulan.

Norasnida antara 10 asnaf yang dibantu Persatuan Kebajikan Sinar Matahari Malaysia menyertai kursus BBM itu selain menerima modal perniagaan.

Bantuan modal itu disampaikan Presiden Persatuan Kebajikan Sinar Matahari Malaysia C Kamaleshwaran.

Seorang lagi asnaf Hamidah Ramli, 50, ibu tunggal dari Bukit Beruntung, Rawang berterima kasih kerana diberi peluang menyertai kursus itu.

Dia yang menderita sakit sendi berharap kursus itu menjadi permulaan untuk membaiki taraf hidupnya.

“Sudah lama saya berhasrat menyertai kursus ini kerana berminat menghasilkan produk sendiri tetapi terbantut akibat kekangan kewangan.

“Saya berterima kasih apabila BBM sudi membantu melunaskan yuran kursus serta memberikan modal,” katanya.

Disiarkan pada: March 6, 2017 @ 7:54am
d