mutakhir

'Dengarlah kami'

Oleh Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail

Kuala Lumpur: Persatuan Teksi Se-Malaysia menyerahkan tujuh memorandum membantah khidmat GrabCar dan Uber kepada ahli Parlimen di pekarangan bangunan Parlimen di sini, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Persatuan Teksi Se-Malaysia Zailani Isausuludin berkata, pihaknya menyediakan 222 memorandum untuk diserahkan kepada semua ahli Parlimen.

“Seramai 150 ketua persatuan teksi seluruh negara berkumpul di depan bangunan Parlimen bagi menyerahkan memorandum berkenaan.

“Namun hanya tujuh memorandum yang diserahkan kepada ahli Parlimen dan wakil mereka. Ia mengenai isi hati pemandu teksi, kami mahu pemimpin mendengar masalah kami yang berlarutan setahun.

“Pendapatan kami terutama di Lembah Klang merosot sehingga 70 peratus sehingga tidak mampu membayar rumah sewa dan anak tidak bersekolah. Kami harap isu pengangkutan awam baru ini diselesaikan segera,” katanya.

Zailani berkata, sebelum ini pihaknya bertemu dengan pemimpin berkaitan untuk menyelesaikan masalah antara pemandu teksi dengan Uber dan GrabCar.

“Bagaimanapun, semua perbincangan menemui jalan buntu. Pelbagai usaha dijalankan dan diharapkan masalah ini diselesaikan segera,” katanya.

Disiarkan pada: March 22, 2017 @ 7:39am
d