utama

Pegawai kanan zakat Pulau Pinang ditahan

Oleh Hadzlihady Hassan

KETUA Pegawai Eksekutif Pusat Zakat Pulau Pinang (ZPP) bergelar Datuk bersama tiga pegawai kanan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Georgetown, semalam.

Pengarah SPRM negeri Datuk Abd Aziz Aban berkata, pihaknya turut menahan tujuh kontraktor yang didapati bersekongkol dengan kakitangan ZPP berkenaan.

Menurutnya, dalam operasi yang dinamakan Op Miskin itu, pihaknya menahan Ketua Pegawai Eksekutif berusia 50 tahun itu di pejabatnya di Bandar Perda, Bukit Mertajam, dekat sini, 10.40 pagi, semalam.

"Tiga lagi kakitangan yang turut ditahan di pejabat berkenaan berusia antara 35 hingga 40 tahun.

"Selain itu, kita turut menahan tujuh kontraktor berusia 41 hingga 52 tahun di rumah dan pejabat mereka," katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati Ketua Pegawai Eksekutif itu dipercayai menerima barang berharga, wang tunai dan cek daripada beberapa syarikat kontraktor dan pembekal sebagai dorongan memberi projek berkaitan program pembangunan masyarakat.

"Tujuh kontraktor yang ditahan itu pula didapati kerap menerima projek atau tender daripada tiga kakitangan ZPP berkenaan," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) dan Seksyen 17 (b) serta Seksyen 23 Akta SPRM yang boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan.

Sementara itu, perintah reman selama seminggu dikeluarkan Majistret Mohamad Amin Shahul Hamid terhadap suspek di Mahkamah Majistret Georgetown, 4.30 petang, hari ini.

Disiarkan pada: May 9, 2017 @ 7:45pm
d