arena

KBS tunggu Kementerian Luar nilai

Oleh Azlan Muhammad Zain

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) sudah berhubung dengan Kementerian Luar berhubung isu membabitkan kunjungan Harimau Malaysia ke Korea Utara pada aksi Kelayakan Piala Asia 2019 pada 8 Jun nanti.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjelaskan Kementerian Luar akan menilai sama ada terdapat keperluan untuk mengeluarkan nasihat perjalanan (travel advisory) berhubung perkara itu.

"KBS tidak mempunyai kuasa namun saya sudah berhubung dengan Kementerian Luar yang akan membuat penilaian dan keputusan akan diketahui dalam masa terdekat," katanya selepas penajaan Spritzer untuk Sukan SEA 2017 sebentar tadi.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi satu kenyataan hari ini, menyuarakan kebimbangan akan keselamatan pemain namun dalam masa yang sama menjelaskan tidak boleh menarik diri kerana boleh mengundang tindakan tegas Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Jelas Khairy tindakan mengeluarkan nasihat perjalanan turut perlu dikaji kerana ia boleh menjejaskan hubungan dua negara.

Sekiranya nasihat perjalanan dikeluarkan, peluang untuk rayuan FAM beraksi di gelanggang berkecuali adalah cerah.

Hubungan antara Malaysia dan Korea Utara tegang susulan kes kematian abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un iaitu Kim Jong-nam yang dipercayai mati dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) Februari lalu.

Pada aksi Kelayakan Piala Asia 2019, Malaysia berada dalam Kumpulan B bersama Korea Utara, Lubnan dan Hong Kong.

Disiarkan pada: May 11, 2017 @ 5:31pm
d