mutakhir

Tidak ambil mudah ancaman keganasan

Oleh Idris Musa

RAKYAT diingatkan supaya tidak ambil mudah terhadap ancaman pengganas kerana pengeboman oleh pihak terbabit boleh berlaku di mana-mana.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau pernah menyebutkan kumpulan Daish mempunyai suatu rangkaian dipanggil Katibah Nusantara di kepulauan Nusantara.

Menurutnya, apa yang berlaku di selatan Thailand, Mindanao di Filipina dan Jakarta, Indonesia dalam kajian yang dibuat badan perisikan mempunyai hubung kait.

"Kita di Malaysia jangan berasa selesa dengan keadaan itu," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Big Splash Data Terbuka di Universiti Malaya di Kuala Lumpur, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pembunuhan Mohammad Wanndy Mohamed Jedi yang dulunya koordinator untuk Katibah Nusantara ada kaitan dengan pengeboman yang berlaku di tiga tempat itu.

"Oleh yang demikian pihak unit anti keganasan PDRM (Polis Diraja Malaysia) sentiasa memantau kegiatan yang dilakukan oleh mereka.

"Kita melihat apa yang berlaku di Manchester dan mereka akan melakukan di rantau ini juga," katanya.

Menurutnya, polis melalui unit anti keganasan sentiasa meningkatkan kesiapsiagaan untuk mengekang kegiatan keganasan pada tahap tertinggi.

Katanya, anggota keselamatan termasuk yang tidak berpakaian seragam sentiasa melakukan pengawasan terutama di kawasan panas.

"Saya harap rakyat memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada PDRM dan agensi yang lain," katanya.

Disiarkan pada: May 25, 2017 @ 4:59pm
d