mutakhir

Kaki palsu buat Selendang

Oleh Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman

GAJAH betina yang kudung kaki kirinya di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) di Kuala Gandah, Lanchang, Pahang menerima hadiah yang cukup istimewa iaitu kaki palsu baru bagi memudahkannya untuk bergerak.

Haiwan berusia 12 tahun yang diberi nama Selendang itu kehilangan kakinya itu selepas terpijak jerat dawai pemburu haram di FELDA Selendang 3, Rompin kira-kira 10 tahun lalu.

Kaki palsu Selendang atau lebih dikenali sebagai Miss Tripod itu disumbangkan EXIM Bank Malaysia dan bernilai RM9,000.

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Hasnan Yusop berkata, Selendang dibawa ke PKGK pada 2007 ketika berusia dua tahun selepas kaki kirinya hampir putus akibat terpijak jerat dawai pemburu haram.

"Selepas dibawa ke PKGK, Selendang diberi rawatan untuk pemantauan dan penjagaan rapi termasuk rawatan perubatan, fizikal dan emosi akibat trauma.

"Selendang mula dipakaikan kaki palsu pada 2012 bagi memudahkan pergerakan dan menampung berat badannya yang semakin meningkat.

"Pertumbuhan badan gajah yang cepat menyebabkan kaki Selendang perlu ditukar setiap enam bulan dan sehingga kini kakinya ditukar sebanyak enam kali," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden EXIM Bank Mohd Nasir Johar berkata, sumbangan itu diberikan kepada haiwan itu bagi memudahkannya untuk bergerak.

"Pihak kami menaja kos pembuatan kaki palsu Selendang kerana mahu memudahkan pergerakan Selendang.

"Dalam masa sama, ianya juga sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami ke arah menyokong serta melindungi alam semula jadi," katanya.

Disiarkan pada: June 1, 2017 @ 5:35pm
d