mutakhir

Anggota polis direman empat hari [METROTV]

Oleh Hadzliahdy Hassan

LAPAN anggota polis hari ini direman empat hari bagi membantu siasatan kes tahanan lolos di Jalan Paya Terubong, Georgetown, semalam.

Semua mereka yang berusia 20 hingga 45 tahun itu dilihat tiba di perkarangan mahkamah pada 10.30 pagi, hari ini.

Penolong Pendaftar Tertinggi Mahkamah Sesyen, Ahmad Tajuddin Zain kemudian mengeluarkan perintah reman terhadap mereka bermula hari ini.

Turut direman, seorang lelaki iaitu orang awam yang dikatakan saudara kepada tahanan yang lolos.

Dalam kejadian 2.30 pagi semalam, seorang tahanan melarikan diri selepas van polis yang dinaikinya mengalami kerosakan di persimpangan lampu isyarat.

Suspek kes dadah terbabit bersama dua lagi tahanan dalam perjalanan ke Hospital Balik Pulau (HBP) bagi mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, siasatan awal mendapati wujud keraguan dan van berkenaan tidak rosak seperti dilaporkan dan semua tahanan itu sebenarnya tidak dibawa ke hospital.

Kes disiasat mengikut Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan dan polis masih memburu tahanan berumur 45 tahun berkenaan.

Satu sidang media berhubung kes ini juga akan diadakan pada 2 petang, hari ini oleh Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye.

Foto Danial Saad

Disiarkan pada: July 10, 2017 @ 1:29pm
d