2057

Malaysia benam Vietnam 88-54

Oleh BERNAMA

MALAYSIA memulakan misi mempertahankan pingat emas bola keranjang wanita mengalahkan Vietnam 88-54 di Stadium MABA, Kuala Lumpur, hari ini.

Malaysia, selaku juara 13 kali, turun ke gelanggang tanpa kapten pasukan, Nur Izzati Yaakob yang selesema, dengan penuh keyakinan apabila mendahului 23-15 pada suku pertama sebelum menambah jaringan 44-28 pada suku kedua perlawanan.

Malaysia menguasai perlawanan pada aksi ketiga dengan merekodkan 69-38 mata sebelum menamatkan saingan dengan keputusan muktamad 88-54.

Pemain Vietnam, Trat Thi Nguey Nga muncul penjaring terbanyak dengan 19 mata diikuti pemain Malaysia, Chong Yin Yin, dengan 17 mata.

Malaysia akan berdepan Singapura esok disusuli Indonesia pada hari berikutnya, Filipina (Khamis), Myanmar (Jumaat) sebelum menamatkan saingan dengan menentang Thailand, Sabtu ini.

Terdahulu, Indonesia, penyandang pingat perak, menewaskan Myanmar 94-49.

Mengikut format pertandingan, setiap pasukan akan bermain enam perlawanan dengan pasukan memenangi pusingan liga akan memenangi emas manakala pasukan di tangga kedua memperoleh perak dan gangsa kepada pasukan di tangga ketiga.

Disiarkan pada: August 20, 2017 @ 6:48pm
d