arena

Thailand tak gentar sorakan penyokong kita

Oleh Firdaus Hashim

JURULATIH Thailand, Worrawoot Srimaka, tidak gentar dengan sorakan puluhan ribu penyokong tempatan yang bakal membanjiri Stadium Shah Alam, Selasa nanti.

Worrawoot yang menilai pemainnya berdasarkan aksi separuh akhir dengan Myanmar semalam, menegaskan mental anak buahnya langsung tidak terganggu meskipun Myanmar mendapat sokongan padu ribuan penyokong di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

“Setiap perlawanan sukar dan sememangnya Malaysia adalah lawan amat sukar, terutama apabila bermain di Kuala Lumpur.

“Namun saya yakin pemain sedia melaksanakan tugas bagi memastikan pingat emas kekal dalam tangan kami,” katanya.

“Mereka sudah bersedia untuk berhadapan bukan saja dengan pasukan Malaysia, juga penyokong tuan rumah.

“Pemain saya cukup matang untuk memastikan tidak terperangkap dengan emosi dan akan memberi fokus sepenuhnya dalam perlawanan.

“Situasi sama kami tempuhi ketika menentang Myanmar apabila segenap penjuru stadium dipenuhi dengan warna merah. Jadi saya yakin faktor penonton bukan masalah buat kami,” katanya di Stadium MINDEF B, hari ini.

Thailand yang mara ke final selepas menumbangkan Myanmar 1-0, kini dalam misi memburu gelaran hatrik serta kejuaraan ke-16 keseluruhan sejak 1959 acara bola sepak dipertandingkan di Sukan SEA.

Disiarkan pada: August 27, 2017 @ 11:00pm
d