arena

Blues bermula garang

Oleh AFP

LONDON: Chelsea bermula garang dalam kempen Liga Juara-Juara apabila jaringan menakjubkan Pedro Rodriguez dan Davide Zappacosta mencetus inspirasi kemenangan besar 6-0 ke atas Qarabag, awal pagi tadi.

Pasukan kendalian Antonio Conte tidak memandang remeh aksi menentang kelab kerdil dari Azerbaijan itu dengan rembatan dari luar kotak penalti Pedro meletakkan mereka di depan seawal minit kelima di Stamford Bridge.

Zappacosta membuat penampilan sulung di laman sendiri bersama Chelsea selepas perpindahan pada hari terakhir jendela dari Torino dan dia menandakan kehadirannya dengan gol pertama buat kelab itu, rembatan dari sudut sukar yang melengkapkan larian deras pertahanan kanan Itali itu selepas setengah jam.

Cesar Azpilicueta (minit ke-55), Tiemoue Bakayoko (m-71) dan Michy Batshuayi (m-76) turut mencetak nama dalam senarai penjaring pada babak kedua sekali gus menghadiahkan Chelsea kemenangan terbesar dalam Liga Juara-Juara.

Malah pertahanan Qarabag, Maksim Medvedev turut membantu gol terakhir apabila dia tertampan masuk hantaran leret Zappacosta ke dalam gol sendiri lapan minit sebelum tamat.

“Ia keputusan yang bagus. Kami memulakan Liga Juara-Juara dengan cara yang tepat,” kata Conte.

“Saya lihat komitmen hebat, fokus dan tumpuan sejak awal perlawanan. Ia persembahan yang bagus daripada pemain.

“Banyak perkara positif daripada kami. Davide Zappacosta bermain dengan amat bagus.”

Disiarkan pada: September 13, 2017 @ 11:19am
d