geny

Dunia fesyen Farhairuddin

Oleh Redzuan Muharam

Perjalanan pensyarah dan pereka muda, Mohd Farhairuddin Anuar, 30, tidak semudah disangka kerana keputusannya menyambung pengajian dalam jurusan fesyen ketika di tingkatan empat pernah mendapat tentangan keluarga yang menganggap bidang itu lebih sesuai dengan perempuan.

Malah, dia juga pernah dilabel lelaki lembut oleh rakan kerana cenderung dalam bidang fesyen.

Namun, kejayaan menyambung pengajian di peringkat universiti akhirnya membuka mata keluarga Mohd Farhairuddin dan masyarakat sekeliling mengenai kesungguhannya mencapai cita-cita.

Menceritakan permulaannya, Mohd Farhairuddin berkata, minat terhadap bidang fesyen bermula ketika berumur 14 tahun namun ketika itu, dia sekadar membantu ibu angkat mengambil upah menyembat dan menjahit baju secara sambilan.

“Disebabkan minat, saya tekad menyambung pelajaran dalam pengajian pakaian di Kolej Vokasional Muar walaupun tiada asas dalam bidang fesyen.

“Ikutkan, keluarga tidak bersetuju kerana saya berperwatakan lembut jadi mereka bimbang terpengaruh dengan perkara negatif apabila menceburi bidang itu.

“Namun, keyakinan mereka bertambah selepas guru memberi gambaran mengenai potensi kerjaya dalam bidang fesyen,” katanya yang kini mengajar di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Pasir Gudang, Johor.

Selepas tamat pengajian peringkat ijazah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Mohd Farhairuddin menimba pengalaman sebagai pereka dan mengakui bertuah kerana diberi peluang bekerja dengan idolanya iaitu pereka fesyen terkenal, Datuk Radzwan Radziwill.

Mohd Farhairuddin berkata, pengalaman itu cukup berharga malah mengajarnya menjadi pensyarah dan pereka yang lebih baik.

“Cabaran utama sebagai orang yang baru menceburi industri ketika itu tentunya menyiapkan tugasan mengikut waktu ditetapkan.

“Namun, di sebalik cabaran itu banyak perkara positif yang saya pelajari dan antaranya kepentingan disiplin dalam kerja.

“Tanpa disiplin, kita tidak akan ke mana dan saya berterima kasih kepada mentor, Datuk Radzwan Radziwill selain pensyarah kanan di Jabatan Fesyen UiTM Faizal Hamid yang banyak membimbing serta memberi tunjuk ajar,” katanya yang pernah merangkul Anugerah Pereka Muda pada Pertandingan Busana Muslimah ‘Evening Wear’ sempena Halal Fest 2011.

Menurut Mohd Farhairuddin, kini dia berkongsi ilmu dan pengalaman yang ada bagi membantu penuntutnya sepanjang tempoh pengajian sebagai persediaan sebelum bekerja dalam industri.

Katanya, tunjuk ajar dan bimbingan diberikan bergantung kepada kemampuan seseorang pelajar namun sesuai dengan kehendak industri.

“Saya selalu mengingatkan pelajar supaya percaya pada diri, jujur dan ikhlas dalam berkarya jika serius untuk menjadi seorang pereka fesyen.

“Selain itu, sebagai pendatang baru, mereka juga perlu giat memahami maksud fesyen dan nilai artistik di dalamnya dengan terbuka untuk menimba ilmu baru.

“Ia penting malah saya sendiri masih dalam proses pembelajaran kerana seseorang pereka fesyen perlu peka dengan keadaan sekeliling dan ambil tahu perkembangan terkini,” katanya yang bercita-cita menyambung pengajian di peringkat sarjana dan menghasilkan koleksi di bawah label sendiri.

Disiarkan pada: September 19, 2017 @ 2:00am
d