rap

Aliff, Nas Adila jadi duta CUCMS

Oleh Nor Akmar Samudin

PASANGAN artis Aliff Razali, 31 dan Nas Adila, 26, baru dilantik sebagai duta Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS) selama setahun bermula September lalu.

Menurut Aliff perlantikan dia dan isteri berdasarkan pengalamannya yang pernah menjadi duta sebuah kolej di Pulau Pinang.

“Saya menjadi duta kolej terbabit selama tiga tahun bermula 2013. Apabila pegawai pemasaran kolej itu bertukar ke CUCMS, dia mencadangkan saya dilantik sebagai duta institut pengajian tinggi swasta itu kerana saya ada pengalaman merekrut pelajar baru.

“Alhamdulillah, Nas dilantik sekali. Kami berdua ditawarkan bekerja tetap sebagai duta dan kami akan ke sekolah untuk memperkenalkan pusat pengajian itu serta jurusan pengajian yang ditawarkan.

“Tawaran pengajian itu terbuka kepada lepasan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan mereka yang mahu menyambung ke peringkat ijazah dalam bidang perubatan,” katanya.

Aliff yang juga lulusan sarjana muda Komunikasi Massa Universiti Utara Malaysia berhasrat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Saya akan mengajak Nas sekali untuk sambung belajar tetapi bukan sekarang kerana sibuk dengan penggambaran drama dan pembabitan saya dengan Persatuan Seniman. Kami juga baru dikurniakan cahaya mata pertama, Muhamad Rizqi yang baru berusia 10 bulan dan kami perlu beri perhatian kepadanya dulu,” katanya.

Disiarkan pada: October 4, 2017 @ 8:43pm
d