arena

Ketangkasan Lampe ikat Brazil

Oleh Reuters

LA PAZ: Brazil diikat dengan keputusan seri 0-0 oleh Bolivia dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018, awal pagi tadi dengan penjaga gawang tuan rumah, Carlos Lampe beraksi cemerlang untuk mengecewakan juara dunia lima kali itu.

Brazil sudah layak ke pusingan akhir di Russia manakala Bolivia di kedudukan kedua terbawah dan terlepas slot kelayakan untuk zon Amerika Selatan.

Lampe menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya terutama pada babak pertama ketika dua kali menafikan rembatan jarak dekat Neymar dan Gabriel Jesus.

Penjaga gol itu terus menggagalkan usaha kedua-dua pemain berkenaan pada babak kedua dengan pemain Bolivia, Diego Bejarano Ibanez turut mensia-siakan peluang terbaik pasukannya.

“Kami mencipta banyak peluang tetapi penjaga gol mereka beraksi cemerlang hari ini, dia berhak mendapat ucapan tahniah daripada kami,” kata kapten Brazil, Casemiro selepas perlawanan.

Brazil kehilangan khidmat Thiago Silva yang mengalami kecederaan selepas 28 minit permainan tetapi ia tidak memberi banyak kesan kepada skuad kendalian Tite.

Brazil mengungguli carta kelayakan zon Amerika Selatan dengan 38 mata selepas 17 perlawanan, sementara Bolivia hanya mengumpul 14 mata.

Disiarkan pada: October 6, 2017 @ 9:53am
d