rap

Dua kali terjatuh ketika berlakon

Oleh Norizzah Baharudin

PELAKON veteran, Roslan Salleh, 60, dinasihatkan doktor supaya berehat buat sementara waktu selepas mengalami kekejangan otot dan saraf akibat terjatuh ketika menjalani penggambaran di Pahang dan Selangor, dua minggu lalu.

Dalam kejadian pertama Roslan, terjatuh dari basikal ketika menjalani penggambaran iklan atas talian di Lurah Bilut, Pahang pada 7 November lalu berikutan seluarnya tersangkut pada pedal basikal.

Menurut Roslan, seminggu kemudian dia sekali lagi terjatuh semasa menjalani penggambaran drama bertajuk 'Isteri Yang Diiktiraf' di Tanjung Karang, Selangor, dijadualkan disiarkan tahun depan.

"Saya bersyukur kerana hanya mengalami kekejangan, namun dinasihatkan supaya berehat secukupnya. Selepas sembuh sepenuhnya saya akan kembali aktif seperti biasa dalam dunia lakonan.

"Mungkin saya akan ambil masa untuk pulih berikutan disahkan menghidap kencing manis sejak empat tahun lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Rantau Panjang, Masjid Tanah, Alor Gajah, hari ini.

Meskipun mula beransur pulih, Roslan masih mengalami batuk, demam dan berasa lenguh badan, malah dia mengaku perlu mengambil masa panjang untuk kembali sihat.

Disiarkan pada: November 24, 2017 @ 2:26pm
d