arena

Sterling lebar rekod kemenangan City

Oleh Reuters

MANCHESTER: Raheem Sterling meledak pada enam minit masa kecederaan ketika membantu Manchester City menewaskan Southampton 2-1 awal pagi tadi sekali gus melakar rekod baru kelab meraih kemenangan kali ke-12 berturut-turut pada saingan Liga Perdana Inggeris.

Jaringan penyamaan Oriol Romeu minit ke-75 memperlahankan tempo permainan City, tetapi usaha Sterling membuahkan hasil apabila menewaskan penjaga gol lawan, Fraser Forster untuk mengesahkan kemenangan di Stadium Etihad.

Sterling kini sudah meledak gol kemenangan dalam tiga perlawanan.

City dilihat tidak berada pada prestasi terbaik tetapi mereka berjaya di depan menerusi jaringan Kevin De Bruyne minit ke-47.

Forster terpaksa bekerja keras menyelamatkan beberapa cubaan berbahaya sebelum Romeu yang juga bekas pemain Chelsea, menyamakan kedudukan.

Sterling muncul wira untuk memastikan City kekal meraih tiga mata penuh dan memimpin liga sekali gus menjarakkan jurang kepada lapan mata berbanding pesaing terdekat, Manchester United yang melakar kemenangan di Watford, semalam.

Disiarkan pada: November 30, 2017 @ 10:04am
d