SKUAD negara berdepan satu lagi cabaran getir di Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) Tahun apabila menentang Korea Selatan pada aksi suku akhir di Stadium Kunshan, Sabtu ini.
Naib juara 2016 itu muncul juara Kumpulan D selepas menewaskan Australia 3-2 pada perlawanan terakhir sebentar tadi untuk mengutip tujuh mata diikuti Vietnam di tangga kedua dengan empat mata.
Berdasarkan kedudukan itu, skuad kendalian Jeong Jeong-Yong bakal membuat perhitungan dengan Malaysia yang melepasi halangan Kumpulan C selaku naib juara.
Dalam perlawanan di Stadium Changshu, Korea Selatan membuka tirai jaringan menerusi jaringan Lee Keun-Ho pada minit ke-18 sebelum Han Seung-Gyu menjadikan kedudukan 2-0 sebelum tamat babak pertama.
Korea Selatan semakin selesa apabila Keun-Ho sekali lagi meledak pada minit ke-65.
Bagaimanapun, Australia tidak mudah mengalah dan menjadikan saingan lebih dramatik dengan Nick Cowburn dan Trent Buhagiar merapatkan kedudukan di minit ke-72 dan 76.
Ia kemenangan kedua Korea Selatan selepas menewaskan Vietnam 2-1 dan seri 0-0 dengan Syria sebelum ini.
Vietnam turut mengikuti jejak wakil Asia Tenggara, Malaysia ke suku akhir apabila menduduki tempat kedua selepas terikat tanpa jaringan menentang Syria dalam satu lagi perlawanan.