arena

Puas hati kombinasi import

Oleh Mohd Amin Jalil

KEHADIRAN lima import berpengalaman mampu merealisasikan impian Negeri Sembilan bertindak baik pada saingan Liga Super musim ini.

Keyakinan itu ditegaskan ketua jurulatih Jorg Steinnebrunner, yang menyifatkan Kim Do Heon dari Korea Selatan, Flavio Beck Junior (Brazil), Nicholas Velez (Argentina), Madhu Mohana (Singapura) dan Renars Rode (Latvia) adalah gandingan terbaik yang dimilikinya.

Biarpun mereka belum diuji dengan cabaran sebenar, namun lima pemain itu sudah menunjukkan kombinasi baik dalam menggerakkan jentera pasukan ketika sesi latihan dan aksi persahabatan pramusim.

“Kim (Do Heon), Flavio (Junior), Nicholas (Velez) dan Madhu Mohana antara pemain yang saya idamkan kerana mereka memiliki pengalaman luas dan pernah beraksi dengan beberapa kelab bola sepak di rantau ini.

“Saya yakin dengan kemampuan dan pengalaman mereka akan dapat membantu Negeri Sembilan tampil lebih bertenaga sepanjang saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini,” katanya di sini, hari ini.

Steinnebrunner berkata, selepas lebih sebulan membuat persiapan termasuk mengadakan aksi persahabatan di Kemboja, pemain sudah menunjukkan keserasian antara satu sama lain.

Menurut pengendali berusia 45 tahun berasal dari Jerman itu, komitmen tinggi dipamerkan semua anak buahnya itu, memudahkan usahanya membentuk skuad lebih mantap.

“Malah saya juga tidak mengambil masa lama untuk memastikan keserasian terbaik dibentuk antara pemain import dan tempatan,” katanya.

Disiarkan pada: January 18, 2018 @ 2:55pm
d