arena

'Eden bukan belasah!'

Oleh Firdaus Hashim

KEHADIRAN ramai tonggak berpengalaman dalam pasukan Negeri Sembilan musim ini, pastinya membawa rentak berbeza apabila mereka bakal bersaing pada kempen Liga Super selepas empat musim beraksi di saingan Liga Perdana.

Senario itu diakui sendiri pengendali pasukan dari Jerman, Jorg Steinebrunner yang percaya kejayaan pasukan memancing beberapa pemain baharu mampu memperkuatkan cabaran skuad Hoben Jang Hoben itu.

Bekas juara Piala Malaysia sebanyak tiga kali (1948, 2009 dan 2011) itu, berjaya mengikat beberapa pemain seperti Rizal Fahmi Rosid dari Selangor, Fauzan Dzulkifli (PKNS FC), Syahid Zaidon (FELDA United), Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (Kelantan).

Ia diperkuatkan lagi dengan lima pemain import iaitu Madhu Mohana (Singapura), Flavio Beck (Brazil), Nicolas Velez (Argentina), Renars Rode (Denmark) dan bekas bintang Piala Dunia 2006 Korea Selatan, Kim Do-heon.

“Kehadiran ramai pemain baharu musim ini seperti Kim, Flavio dan Mohana bakal memberi kelainan dalam pasukan musim ini. Sudah tentu pemain ini akan disandarkan harapan besar untuk memastikan pasukan mampu bersaing dengan pasukan lain.

“Malah, selepas empat tahun tidak bermain di Liga Super, saya yakin kesemua pemain bersemangat tinggi untuk melakukan sesuatu meskipun bakal dicabar pasukan lebih handal seperti JDT (Johor Darul Ta’zim), Kedah dan Perak,” katanya.

Mereka yang sekadar menamatkan saingan di tangga kelima di Liga Perdana musim lalu, dinaikkan pangkat ke Liga Super selepas beberapa perubahan yang berlaku terhadap pasukan Terengganu FC II (TFC II) dan FELDA United, yang akan beraksi di Liga Perdana.

Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) kemudiannya bergerak pantas merombak barisan pemain dan jurulatih termasuk melantik Steinebrunner selaku ketua jurulatih yang sebelum itu memegang jawatan Pengarah Teknikal pasukan.

Skuad ini juga membuat keputusan tepat apabila memanggil pulang tonggak skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, N Thanabalan yang dipinjamkan ke Felcra FC, musim lalu.

“Apabila saingan musim baharu bermula, sudah tentu cabarannya lebih getir. Sebagai jurulatih, saya mahu pasukan tampil lebih mantap bukan saja daripada segi fizikal dan tahap kecergasan tetapi juga kekuatan mental.”

Menerusi persiapan rapi yang dilakukan, saya yakin sasaran satu piala dan kekal di saingan liga mampu direalisasikan musim ini,” katanya.

Apa kata mereka:

“Peluang untuk kami bersaing dengan pasukan kuat lain tetap ada, dan saya akan cuba menggunakan pengalaman yang ada untuk membantu Negeri Sembilan.” Rizal Fahmi Rosid (Tonggak Pertahanan)

“Kita akan ambil satu aksi ke satu aksi dan tak perlu menghormati mana-mana pasukan, walaupun mungkin kita datang dari Liga FAM, kita kena bagi yang terbaik. Atas padang selama 90 minit kita tunjuk aksi terbaik’. Mohd Nasriq Baharom (Tonggak Pertahanan)

Disiarkan pada: January 26, 2018 @ 10:00am
d